assalamualaikum
lama rasanya xpost cerpen..
terimalah..
CINTA SEORANG PEMUDA
oleh:Shahkang
“Aduh, mana dia ni!?”
Hamid mengeluh panjang sebelum menghela nafasnya dengan sekuat-kuat - tertekan kerana orang yang dinantikan belum kelihatan kelibatnya. Dia mengibas-ngibas lantai simen kelabu tempat dia memacakkan kakinya dengan suratkhabar yang baru dibeli dan menjelepokkan tubuhnya dengan selesa. Matanya kadang-kala mengerling jam dinding plastik berdekatan pintu utama masjid. Sinar cahaya semakin membalam menanda tirai senja mulai tersingkap menggantikan redup petang.
“Sembahyang Asar apa lama sangat ni,” katanya sambil membuka helaian demi helaian suratkhabar lusuh itu.
Srett…!
Kedengaran seretan pintu kaca masjid itu bergelongsor dan Hamid bingkas bangun dan menepuk-nepuknya punggung teposnya untuk membersihkan habuk. Cuka wajahnya seolah-olah dibilas dengan segelen manisan setelah melihat Dalila rakan sekuliahnya yang dinanti sejak sejam yang lalu telah muncul. Hamid melangkah mendekati sahabatnya bersama degupan jantung yang mula mengatur rentak pantas.
“Dal!”
“Assalamualaikum, Hamid! Hah, ada apa ni?”
“Err. Walaikumsalam” balas Hamid dengan sekuntum senyuman kelat. Merah padam wajah cerahnya itu dek lupa memberi salam.
“Saya nak pinjam nota kuliah Dr. Fred tadi, saya duduk di belakang tak nampak tulisan kenitnya tu, boleh kan?” sambungnya.
“Boleh saja. Semangat betul awak ni, Mid. Sanggup tunggu saya untuk sekeping nota comot ni. Maaflah lambat, tadi saya ada usrah,“ Dalila mengambil beg sandangnya dan membelek-belek kepingan kertas di dalam fail poketnya.
Hamid masih kekal dengan sengihannya. Bukanlah semangat belajar yang mendorongnya tetapi ada niat lain yang telah disisipkan bersama. Dalila menghulur sekeping kertas biru kumal yang telah dicoret pelbagai persamaan dan rumus matematik yang berselirat di atasnya dengan rencaman warna pen yang menarik.
“Kalau boleh pulangkan esok sebab saya nak study untuk kuiz rabu depan. Eh, saya dah lewat nak ke majlis iftar! Dah hampir waktu maghrib ni. Marilah pergi sekali kalau awak ada kelapangan,”
“Tak apalah, selamat berbuka!” Terasa tertampar wajah Hamid apabila mengimbau kali terakhir dia berpuasa sunat semasa di sekolah berasama penuh empat tahun dahulu. Itupun kerana sekolah mewajibkan pelajar berpuasa sempena hari Nisfu Syaaban. Kalau tidak memang mustahil untuk dia menahan lapar dan dahaga untuk suatu ibadah yang hukumnya tidak wajib.
“Kalau begitu tak apalah. Saya nak pergi dahulu nanti lambat pula, assalamualaikum!” Dalila terus berlalu dan melintas jalan untuk ke perhentian bas di hadapan masjid untuk menyertai puluhan pekerja pejabat yang sedang menanti bas. Di celah-celah kelompok manusia terdapat kerusi yang sudah penuh dilabuh orang. Dalila berdiri sambil menyelak-nyelak naskhah Al-Quran yang sebesar tapak tangannya sebelum berhenti di satu muka surat dan memulakan pembacaan dengan perlahan. Mereka yang berada di situ sekali-sekala menlirik ke arah gadis bertudung hijau cerah itu. Mereka kagum dengan kesanggupannya membaca kitab Allah itu walaupun penumpang lain sibuk mengibaskan diri sendiri kerana kepanasan akibat angin yang tidak memuput seperti selalu. Kekhusyukannya langsung tidak tercela walaupun sesaga.
Hamid mengamati gadis idamannya itu sambil berjalan menuju ke wakaf berhadapan dengan masjid tempat dia meletakkan motosikalnya. Tidak terlepas sesaat pun segala perlakuan Dalila yang betul-betul memikat hatinya, malah mungkin ratusan kaum Adam yang lain. Sekujur tubuhnya itu sentiasa dibaluti lapisan kain polos yang berlapis-lapis – menutup segala aset seorang wanita yang mampu membuaskan nafsu lelaki. Disulam pula lembar-lembar benang keimanan di segenap tubuhnya bersama benih-benih ketaqwaan yang sentiasa bercambah dari pancaran wajahnya yang selalu tenang itu. Tampak berbeza benar dengan rakan wanita Hamid yang lain. Mungkin itulah yang merasuk Hamid untuk mencintai Dalila walaupun ungkapan rasa hati belum terpacul dari mulutnya.
“Berpeleseran lelaki dan perempuan hukumnya haram, melainkan setelah diijabkabulkan melalui ikatan suci pernikahan. Firman Allah melalui surah Al-Isra’ ayat ke-32 yang bermaksud, janganlah kamu menghampiri zina. Ingatlah kawan-kawan, berpasangan antara kita secara haram kadang-kala boleh mengakibatkan kita terlangkah setapak ke arah zina,” Hamid teringatkan pembentangan Dalila dalam kelas agama Ustaz Ismail bulan lepas. Seluruh kuliah diselubungi hening mendengar pentarbiahan Dalila menerusi petah kata-katanya membaca maksud ayat Al-Quran dari surah Al-Isra’ itu. Selepas itu, makin kurang rakan sekuliah mereka yang berlagak sepeti belangkas ke hulu ke hilir menayangkan hubungan haram mereka itu. Kelibat manusia bertenggek bersama angin asmara mereka di sudut-sudut sunyi kawasan kolej juga kian susut. Dalila amat menitikberat soal pergaulannya dengan lelaki dan kerana itulah Hamid terpaksa mengatur langkah berhati-hati dalam memenangi zabarjad hatinya itu.
Hamid tersentak daripada lamunan singkatnya. Tatkala azan Maghrib berkumandang dia terus memecut motosikalnya meninggalkan asap kelabu motosikalnya yang menggejuju dan menodai ruang udara masjid itu. Tidak terlintas langsung di hatinya untuk bersama-sama bersolat jemaah.
* * *
Suasana blok kediaman lelaki seperti malam-malam biasa. Kadang kala kedengaran nyanyian sumbang pelajar bersama petikan gitar melulu tanpa irama yang teratur dan ada juga penghuni yang diselubungi hening bersama lambakan tugasan yang perlu segera disiapkan. Hamid dan Kamarul, rakan sebiliknya membisu sahaja sambil jari-jemari masing-masing melekap di kekunci computer serta melantun-lantun untuk menyiapkan tugasan mereka.
Hamid merenggang-renggang lengannya sambil menghempaskan tubuhnya yang kurus kering itu ke tilam bujangnya. Bantal empuknya menjadi pelabuhan kepalanya yang sudah disebui kira-kira kalkulus yang menyerabutkan jiwa. Sesekali dia mengeluh berat.
“Kau agak Dalila tu layak tak untuk aku?” suara serak Hamid memecah keheningan bilik itu. Kamarul yang sedang asyik meneliti hasil kerjanya di skrin komputer bimbitnya sedikit terkejut..
“Kau lelaki dan dia perempuan. Apa masalahnya?” katanya berseloroh sebelum menyambung semula pengamatannya kepada skrin terang-benderang itu.
“Ish, ke situ pula kau ni! Maksud aku dia tu warak macam ustazah. Aku ni? Wirid lepas solat pun aku tak terhafal kau tahu? Yang lain tu jangan ditanyalah,” fikiran Hamid mula melayang mencari kekurangan dirinya. Memang berbeza benar dirinya dengan pujaan hatinya itu. Dalila merupakan seorang muhsinat bernadikan mujahadah pejuang sejati. Muraqabahnya sepanjang waktu bagaikan kesetiaan langit menemani bumi. Sifat mahmudahnya? Ah, hingga ke hujung dunia pun sukar diganti! Hamid apa yang ada?
Kamarul tersenyum tanda mengerti persoalan yang menyerbu kotak fikiran sahabatnya itu.
“Aku rasa kau patut berubah, Mid. Kau tu pipit sahaja tapi berkehendakkan si helang. Dalila tu mesti kerkehendakkan muslimin yang dapat membimbingnya ke arah jalan yang diredhai Allah. Kalau macam perangai kau sekarang, alamatnya masuk longkanglah!” Kamarul tergelak sedikit bersama tegurannya yang berbaur sinis itu. Ungkapan yang cukup untuk menghiris kalbu Hamid menjadi jalur-jalur keinsafan. Hamid sedar yang dia tidak layak untuk meniarap sama tinggi dengan Dalila, apatah lagi hendak duduk atau berdiri.
“Apa yang patut aku buat?” getus rasa hatinya yang disergah perasaan seribu resah. Dia tidak mahu kehilangan nilam hatinya yang sudah lama ingin ditawannya itu.
* * *
Suasana masjid sepi tanpa pengunjung. Matahari baru sahaja naik segalah dan air embun pun masih lagi segar menempek di pohon semalu di taman perkarangan masjid. Hanya Hamid dan beberapa ahli surau menapak masuk ke masjid untuk menunaikan solat sunat duha. Hamid mengalirkan air ke celah-celah jari kakinya sambil menggosok-gosok sebarang kotoran yang menghalang wuduknya daripada sempurna. Dia kemudiannya melaksanakan solat sunat yang sangat besar fadhilatnya itu secara berseorangan di satu sudut sunyi masjid yang mampu mendamaikan hatinya serta menambah kekhusyukannya.
Setelah selesai berdoa kepada Allah Rabbuljalil, dia teringatkan Dalila. Lantas dia menderaskan langkahnya bagai lipas kudung menuju ke tangga surau. Ah, sandal biru kepunyaan gadis itu masih di situ! Dia tersenyum sendirian dan sengaja melambatkan pemakaian kasutnya sambil membelek-belek telefon bimbitnya kononnya seperti membalas mesej. Hampir dua hari tidak menatap wajah puteri kesayangannya itu. Kesatuan rasa cinta dan rindu telah meratus gila dari perdu hati terunanya itu.
Suara Dalila yang kedengaran tidak jelas akibat dibatasi pintu kaca itu sedikit menjompakkan keriangan hatinya.. Gementar jiwanya menjalar hingga ke seluruh badan. Bergetar tanpa disedari sesiapa pun. Dalila dan rakan usrahnya, Yasmin mula mendekati tangga surau untuk memakai kasut mereka sebelum berjalan menuju ke bilik kuliah masing-masing.
“Eh, Hamid. Dah solat duha?” Dalila sedikit terperanjat.
Hamid menguntumnya senyuman yang tidak putus-putus kepada Dalila. Dia pasti nada terkejut itu akibat perubahan dirinya yang secara tiba-tiba itu.
“Sudah. Tadi pagi saya ada usrah dengan Abang Man. Pelajar tahun akhir perubatan tu. Menarik juga berbincang mengenai kes murtad tadi,” jelasnya dengan sedikit rasa bangga. Harapannya agar Dalila menyedari sesuatu yang berlainan dalam dirinya. Jika dahulu waktu rehat paginya dipenuhi dengan derai tawa bersama rakan di kafeteria, kini dia beralih kepada program agama yang membina jati diri dan ukhwah sesama pelajar Islam di universitinya. Tiada lagi bayangannya berpeleseran bersama rakan sekuliahnya dengan motosikal berkuasa tinggi dan deraman enjin yang membingitkan. Dia benar-benar telah berubah demi kasihnya kepada Dalila yang tudungnya melabuh hingga ke punggung itu.
“Oh, baguslah begitu. Tak tahu pula awak dah sertai usrah sekarang. InsyaAllah mudah-mudahan banyak lagi rakan kita akan mengikut jejak langkah awak ni,” kata Dalila sambil tangannya melambai ke arah Yasmin yang sudah beberapa langkah dari situ.
“Hendaknya begitulah. Dah lewat ni, jom ke kelas nanti tak dapat duduk barisan depan. Jenuh kena jegil biji mata nak menyalin nota Dr. Fred,” cadang Hamid. Mereka bergegas meninggalkan tangga masjid itu apabila teringatkan betapa halusnya tulisan professor subjek kalkulus mereka itu.
Dalila terus meninggalkannya berseorangan dan tidak menunggu Hamid walaupun mereka menuju arah yang sama, dewan kuliah yang sama. Hamid yang pada mulanya terkedu dengan perbuatan rakannya itu mula memahami prinsip gadis itu - amat menitik berat soal pergaulan dengan lelaki. Walaupun sekelumit rasa terkilan mula terpancar dari raut wajahnya, tapi meluap-luap juga rasa kagumnya kepada rakan sekuliahnya itu. Dalila bukanlah gadis murahan seperti Emi dan Hazirah yang sangat mudah menerima umpanan lelaki termasuk dirinya untuk keluar berhiburan hingga fajar Subuh muncul di kaki langit sebelah timur. Hamid pasti muslimah pilihannya kali ini tidak silap seperti sebelumnya dan mampu menjadi seorang teman hidup yang setia hinggalah nafas terakhirnya.
* * *
Tamat sahaja kelas dia terus bergegas ke masjid universiti yang sepenanak nasi lamanya berjalan kaki dari bangunan akademik untuk menunaikan solat Zohor berjemaah. Sekitar jam dua petang pula dia dijemput untuk menyertai satu simposium akhlak Islamiah dan sudah pasti dia tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu yang membawa dirinya lebih dekat dengan Dalila. Gembiranya bukan kepalang melihat gadis berkening rimbun dan berdahi licin itu bersama-sama dengannya dalam masjid itu. Bunga kasihnya bertambah mekar menjernihkan sinar wajahnya yang sudah sedia tampan itu bersama gelojak rasa cinta yang tidak pernah menjengah atmanya sebelum ini. Betapa bahagianya Hamid.
Dalila pula berkali-kali memanjat kesyukuran kepada-Nya. Kadang-kala tidak percaya akan perubahan mendadak yang berlaku dalam diri Hamid. Setiap kali terpandang Hamid dalam majlis-majlis agama, dia hanya menghadiahkan senyuman manisnya sebagai tanda ukhwah sesama saudara seagama.. Hatinya tidak pernah terdetik walau sekumin rasa cinta pada sahabatnya itu. Buah-buah sayang yang ranum terhadap Hamid juga hanyalah sebagai seorang sahabat seperjuangan dalam lapangan yang sama. Tidak lebih dari itu.
Sepurnama sudah perubahan dalam diri Hamid. Dia begitu selesa dengan kehidupan barunya sebagai seorang yang sering menzahirkan diri di rumah Allah. Seperti hari-hari biasa, dia menunggu Dalila di tangga surau tempat mereka menyimpan kasut. Dia didatangi Abang Man yang kebetulan sering menggunakan tangga yang sama.
“Mid, kalau petang Ahad minggu depan ada masa lapang, datanglah sini. Ada majlis akad nikah dan jamuan ringan sikit. Pelajar universiti kita yang bernikah,” kata Abang Man.
“Oh, siapa? Saya kenal?” soal Hamid. Sebelum ini memang berjabu pasangan melangsungkan majlis ijab kabul mereka di situ yang rata-ratanya terdiri daripada pelajar universiti dan rakan-rakan Hamid juga.
“Dalila dan Fazrul. Rasanya Dalila tu budak kejuruteraan macam awak juga. Datanglah kalau tak keberatan,” kata Abang Man sambil berlalu pergi. Berderau darah Hamid mendengar butir-butir kata yang terakhir itu bersama mulutnya yang terlopong luas. Detak jantungnya yang tenang tadi tiba-tiba bagai direnggut lintasan halilintar. Resah kian memayungi perasaannya.
“Dalila hendak berkahwin? Dengan Fazrul? Fazrul tahfiz Al-Quran yang satu kumpulan usrah dengan aku tu?” dia berbicara sendirian. Dia teringatkan perihal Fazrul, seorang qari yang terkenal dengan alunan merdu suaranya yang serak parau itu sering mendendangkan ayat-ayat Al-Quran di masjid atau majlis-majlis rasmi universiti. Hamid mula terasa betapa ketara perbezaan dirinya dan Fazrul sama seperti dirinya dan Dalila. Kalau bersama dengan Fazrul dalam sesi usrah, dia sering saja membungkam bisu dan hanya menadah telinganya mendengar hujah-hujah Fazrul yang bernas diselitkan pula dengan hadis-hadis atau potongan ayat Al-Quran yang sudah dikhatamnya berpuluh kali. Hamid berasa dirinya sudah gagal dalam memenangi hati Dalila. Masakan helang boleh disamakan dengan pipit. Sampai bila-bila pun tidak akan sama.
* * *
Kamarul mula menyedari perubahan Hamid yang kembali kepada perangai lamanya. Mashaf Uthmani yang sering digunakan Hamid untuk membaca surah Al-Mulk setiap malam sebelum melelapkan mata kini disawangi habuk di atas almari. Kelibat motosikalnya memasuki pintu pagar masjid dan memarkir di hadapan tangga surau kegemarannya juga tidak dapat dilihat lagi.
“Kau berubah selama ini hanya kerana Dalila? Bukan kerana Allah?” tanya Kamarul yang benar-benar dirundung rasa kecewa ekoran perbuatan rakannya itu.
Hamid tetap membisu bersama kolam air matanya. Baginya tiada apa lagi perlu dikejar. Permata idamannya sudah dikebas orang lain yang lebih layak dan berhak. Kamarul tercengang seketika melihat fiil rakannya yang sudah dikenali sejak dua tahun ini. Hamid tidak pernah bersikap sebegini. Kalau meraung kesedihan sekalipun, Hamid akan pulih setelah beberapa hari. Kini sudah hampir seminggu dia hanyut dalam lautan kehampaannya itu. Selaksa tugasan yang diberikan pensyarah langsung tidak diendahkan apatah lagi hendak menyelak buku kalkulus atau kimia yang setebal kira-kira dua inci itu.
Dalila turut sama merasai kehilangan Hamid. Pemuda itu tidak hadir ke kelas kuliah apatah lagi untuk bertemunya di tangga masjid seperti selalu. Linangan air mata jernih muslimah itu membasahi kain tudungnya apabila Kamarul menceritakan kisah sebenar Hamid kepadanya. Dalila kecewa kerana Hamid bukanlah benar-benar mentaslimkan diri kepada Allah Rabbulalamin seperti yang disangkanya. Sebaliknya murad Hamid selama ini hanya kerana dia, seorang hamba Allah yang hanya mengabdikan diri kepada-Nya dan tidak mempunyai apa-apa keistimewaan mahupun mukjizat seperti mana yang dikurniakan-Nya kepada para nabi dan rasul. Dia tidak mampu berbuat apa-apa melainkan mengangkat tangan dan berdoa kepada Allah agar Hamid diberi musaadah untuk dipimpin semula ke jalan yang benar.
* * *
Hamid cuba mengagahkan dirinya ke kuliah setelah seminggu berkurung di hostelnya dengan harapan tidak bertembung dengan Dalila seperti sebelum-sebelum ini. Dia mengerling sekitar biliknya mencari buku-buku notanya yang sudah hampir seminggu tidak dijenguk. Tiba-tiba, dia terlihat sepucuk surat berwarna merah jambu yang terdapat di atas mejanya. Perlahan-lahan dia menarik keluar isi surat dan tangannya terketar-ketar setelah nama Dalila terpampang sebagai penukil di sampul surat.
Assalamualaikum Hamid,
Berubahlah kerana Allah Azzawajalla. Bukan kerana diri yang hina ini. Diri ini tidak mampu menyelamatkanmu dari kepanasan api neraka atau raunganmu di dalam kubur kelak. Renungkanlah firman Allah menerusi surah Al-An’am, ayat ke-162 yang maksudnya segala perbuatan kita sebagai hambanya di muka bumi ciptaan-Nya ini hendaklah semata-mata kerana-Nya, tuhan yang Maha Esa. Hamid, ingatlah bahawa kepada-Nya kita berserah dan kepada-Nya juga kita meminta pertolongan. Diri ini berharap Hamid akan bertemu gadis yang lebih layak untukmu kelak. InsyaAllah.
Sahabatmu, Dalila
Rasa malunya kepada Allah memuncak. Tasik bening yang bertakung di matanya mengalir lagi. Dia teringatkan ayat surah itu yang pernah dibincangkan dalam usrah yang dikendalikan oleh Abang Man. Dia sedar selama ini dirinya dihasut syaitan laknatullah untuk mengejar pasangan hidupnya, bukannya rahmat dan keredhaan Allah yang menjamin kehidupan ukhrawi dan duniawi. Air mata yang menuruni pipinya bertambah deras mengimbau kembali bagaimana dia sanggup menggunakan ibadah hanya untuk berada setaraf dengan Dalila. Dia mulai sedar selama ini dia hanya termakan bisikan syaitan yang telah memesongkan niatnya dalam melaksanakan ibadah kepada Allah.
“Terima kasih Dalila. Semoga bahagia di samping suami tercinta,” bisik hatinya. Dia segera menyentengkan lengan bajunya dan menuju ke tandas untuk mengambil wuduk bagi menyempurnakan taubat nasuhanya kepada Allah Rabbulghafur dengan solat sunat sebanyak dua rakaat.
with love~nuramna najihah
salam...nice cerpen..hehe...kak annnn...^_^
ReplyDeletewaalaikumsalam..:)
ReplyDeleteuish..promote nama manja..
tu untuk kegunaan privasi jela..:)
ops...terlepas...hehe...alaaa..nama manja pon manja la...
ReplyDelete