Showing posts with label cerpen-indahnya hidup ini. Show all posts
Showing posts with label cerpen-indahnya hidup ini. Show all posts

Friday, November 5, 2010

SEGALANYA DARI ALLAH..


Di sebuah rumah di pinggir kota,
Jam 12.00 tengahari, tiga beranak sedang bersiap-siap untuk makan tengahari dan makanan telah tersedia sejak pagi, ibu dan ayahnya sama-sama memasak makanan.
Kali ini mereka cuba untuk menggunakan semuanya segar dari kebun yang ditanam di laman belakang dan tepi depan rumah mereka.
Ada tomato, ada cili, ada halia, ada kunyit, ada serai, ada daun salad dan sebagainya tapi rumah mereka tidaklah luas mana.
Ada seorang anak kecil, makan bersama ayah dan ibunya.
Sedang ia makan, dia bertanya kepada ibunya.
"Ibu, makanan hari ini sangat sedap, dari mana datangnya makanan ini dan rasa sedap ni ibu?

Fikrah dengan ceria bertanya pada ibunya, rasa sedap pada lidahnya membuatkan pipi gebu Fikrah bertambah tembam.
Ibunya sambil rasa senang dan seronok kerana dipuji cuba mula bercerita.
"Oh, makanan ini kan ibu yang masak tadi, ibu campurkan dengan lada putih dan lada hitam dan beberapa biji hasbatul sauda', ibu juga tidak gunakan sos dan kicap untuk perasa. Kali ini ibu cuba gunakan buah tomato yang ibu tanam dibelakang rumah untuk rasa masam dan cili segar untuk rasa pedas, sedikit halia juga dari kebun kita di belakang rumah tu, mungkin kerana segar dari kebun, itu penyebab kesedapannya wahai anakku Fikrah."
Ayahnya menambah,
"Mungkin kerana Fikrah mula makan makanan itu dengan bismillah, itu yang sedap tu"
Ujar ayahnya sambil mengusap rambut yang terurai di dahi fikrah dengan penuh kasih sayang.
Ibu dan ayahnya tersenyum, anaknya masih tidak puas hati dengan jawapan ibu dan ayahnya, dibenak hatinya, ibu dan ayah tersenyum seperti mereka ada merahsiakan jawapan sebenar.
"Bagaimana dengan nasi ni ibu"? kita tak tanam padi kan?
Ibu dan ayahnya terkejut, kenapa hari ini fikrah betul-betul mahu tahu persoalan ini?
Ibunya menjawab,
"Ya, Fikrah, kita tidak menanam padi, padi ini datangnya dari sawah. Rumah kita tak muat untuk menanam padi. Jadi ada pesawah yang bekerja untuk menanam padi, pesawah itulah yang menuai padi dan pesawah itu akan menghantar padi yang dituai ke kilang untuk diproses menjadi beras"
Ayahnya menyampuk dengan nada berjenaka.
"Ya.. kilang beras, pilihan bernas, pilihan bijak" suami isteri itu tertawa kecil oleh lawak si suami.
Sedangkan Fikrah benar-benar rasa masih belum terjawab. Dia mengetip bibir seolah-olah geram.
Ayahnya terperasan keadaan itu lalu meneruskan cerita.
"Dari kilang, beras itu dibungkus dan dihantar ke kedai-kedai, dari kedailah kita membeli beras, dan kemudian beras itu ibu fikrah basuh, dan ibu fikrah memasaknya untuk kita sekeluarga dengan rice cooker yang ayah belikan tu"
Dengan lemah lembut ayah fikrah bercerita agar dapat mententeramkan fikrah.
Fikrah bertanya lagi. Kali ini bertubi-tubi seolah-olah tidak puas hati benar
"Dari mana datangnya padi?" dari benih padi jawab ibunya
"Dari mana datangnya benih padi?" dari penuaian benih padi di tanam di atas tanah jawab ayahnya.
"Dari mana datangnya tanah"?
Ayah dan ibu Fikrah terdiam dan terdetik di hati mereka. Terharu, sayu, pilu, keinsafan, dan bangga pada Fikrah, mungkin berkat namanya Fikrah, dia benar-benar ingin tahu erti "Fikrah"
"Fikrah tahu semua yang ibu dan ayah cakap sejak awal tadi adalah selok belok.
kenapa ibu dan ayah tidak menjawab dengan terus terang?"
Fikrah seolah-olah merajuk, tapi fikrah tertunduk takut-takut kalau sikapnya itu buat ibunya kecil hati. Fikrah tak mahu berdosa pada ibu.
Keadaan terdiam sebentar. Seolah-olah ada malaikat yang lalu datang membawa ilham kepada ibu dan ayah fikrah untuk menjawab persoalan anaknya yang bersifat Fikrah itu.
Ibu Fikrah berkata,
"Anakku, ibu minta maaf, ibu mengelirukan Fikrah, ketahuilah anakku, memang benar. Segalanya dari Allah S.W.T"
Makanan yang kita makan itu dari Allah S.W.T. Rasa sedap makanan itu juga dari Allah S.W.T. Tanaman yang ayah fikrah usahakan di kebun rumah kita juga tumbuh dengan izin Allah.s.w.t.
Ayah Fikrah menitiskan air mata menyambung kata-kata ibu fikrah.
"Benar Fikrah, segala-galanya dari Allah S.W.T. Dialah Al-Khaliq. Mari kita berdoa agar rezeki yang diberikan ini berkat, halal, dan semoga dengan rezeki yang baik darinya ini kita sekeluarga terhindar dari api neraka."
Mereka bertiga menadah tangan semula dan berdoa kepadaNya.
Tangisan keinsafan dan air mata yang keluar dari mata kami bertiga ini juga dariMu Ya Allah.

Saturday, October 3, 2009

warkah adam untuk hawa..

assalamualaikum..

WARKAH ADAM UNTUK HAWA...

Dengan nama Allah S.W.T yang MahaPemurah lagi Maha Penyayang
Didoakan semoga kalian berada di bawah lembayung rahmat dan keredhaan Allah s.w.t.

HAWA....

maafkan aku jika coretan ini bisa mengguris hatimu meskipun ku tahu,
jiwamu selembut sutera dan bisa hancur lantaran kata-kata yang bakal kuungkap ini…
Mengertilah duhai Hawa..
Kerana kaulah pengubat kesunyianku waktu di syurga dulu,
dan engkau juga yang asalnya dari tulang rusuk kiriku yang bengkok lantaran kerana bimbang hidupmu terpesong dari landasan yang sebenarnya.,ku gagahi jua diri ini...

HAWA....

Maha suci Allah yang telah mentakdirkan kaummu melebihi kaumku di akhir zaman ini.
Itulah kebesaran dan penelitian Allah s.w.t dalam urusanNya.Bayangkanlah duhai Hawa andainya kaumku melebihi kaummu , pasti dunia ini akan berkecai kerana huru hara dan diselimuti warna-warna suram lantaran kekejaman dan penindasan.

HAWA....

suka untuk ku mengajak dirimu agar berfikir sejenak tentang hakikat kekalutan yang melanda di saat ini tapi permintaanku,
duhai Hawa...
cubalah dikau renungkan jua yang sebenarnya dirimu kini telah berubah.Tidakkah kau mengerti bahawa dirimu umpama sekuntum bunga yang indah di pandangan mata,
namun bukan perhiasan semata-mata.Duri-duri yang melingkarimu itu adalah hijab yang digariskan oleh Allah s.w.t sebagai pelindung yang diertikan sebagai aurat seorang yang bergelar wanita.

Hawa..

Mengapa harus kau biarkan ia terdedah kepada kami kaum ajnabimu..??
betapa hancurnya hatiku menyaksikan dirimu umpama bahan yang boleh diperkotak-katikkan. Dimana-mana sahaja bisaku lihat dirimu menghayunkan langkah..bukan sebaik dulu lagi..langkahmu kian pantas..apa sebenarnya yang engkau kejari..??
ku sendiri tak pasti...terkadang ku tak dapat membezakan dirimu dengan teman-teman yang lain . Bersama hayunan langkah itu suaramu kian meninggi diiringi gelak ketawa yang cukup memedihkan mata dan hatiku ini sedarkah kau Hawa???
haruskah aku terima hakikat yang kau sudah berubah?
semakin jauh dari landasan Tuhan yang pernah kutelunjuki buatmu dahulu..

HAWA.....

mengapa mesti dirimu menjadi tontonan ramai??
perlukah kau hiasi dirimu untuk menarik perhatian kaumku??
sehinggakan yang menutupi auratmu kau miliki dari ciri-ciri yang ditegah oleh Islam. Sukar bagiku untuk melihat kembali keadaan yang sesederhana mungkin cukup untukku merasakan kehadiranmu disaat ini tidak lebih dari mempamerkan perhiasn diri yang kau miliki . Fahamilah Hawa usahlah menurut kerakusan nafsumu menjelajahi sebutir peluru yang bisa hinggap di mana sahaja meninggalkan fitnah buat kaumku ini..

HAWA......

betapa sakit dan pedihnya di saat kulihat auratmu menjalar disekeliling pandanganaku. Ku tak mahu Hawa di negeri yang abadi itu..satu hari nanti memperlihatkan keseksaan terhadapmu yang kukira paling dasyat.
Apa tidaknya seurat rambutmu yang keluar ular menanti di mana-mana sejengkal tanganmu kelihatan..
aduh!!! banyaknya siksaan menantimu..mengapa begitu Hawa..??
Tidakkah ingat apa yang perlu kau jaga adalah maruahmu!!
maruah seorang wanita yang tersandar di bahumu ..kelemahan dan kekurangan..
jadi bagaimana seandainya kelakuan dan auratmu terpamer di mana-mana sahaja??

HAWA....

tidakkah kau malu dengan pembohongan yang kau sembunyikan dalam dirimu sendiri??
Disini auratmu kau selindungi disebalik pemakaianmu .Atas dasar peraturan dan persekitaran kalian tapi jaun nun di luar sana tersentak diriku takkala melihat dirimu jauh berbeza!
tudung ke mana? jilbab ke mana??
apatah lagi tingkah lakumu!!!
di mana kau letakkan martabat seorang yang bergelar muslimah?
aku diselubungi rasa malu atas penghinaan ini...

HAWA.......

tutupilah auratmu..
jagalah dirimu...
bertuturlah dengan suara yang lembut..
mampu kau kawal lantaran tika terlanjur..
semuanya bisa membawa dosa kepadamu .Jangan kau memperlihatkan apa yang tersembunyi pada dirimu tapi ingatlah..cukuplah sekadar tapak tangan dan wajahmu yang dizahirkan ,namun bukan kakimu,rambutmu,dan jua tubuhmu..

Firman Allah s.w.t
"dan katakanlah kepada wanita-wanita beriman,hendaklah mereka menahan mata mereka dan memelihara kemaluan mereka dan jangan menampakkan perhiasan mereka kecuali yang zahir padanya.....

HAWA.....

mungkin ku harus menghentikan bicara pertama disini dahulu.
Andai Allah mengizinkan kita bersua lagi di di lain lembaran dan yang pasti,aku akan tetap terus membimbingmu .
Harapanku agar muncullah walaupun hanya secebis kesedaran di hatimu dan akan mendoakan moga Allah s.w.t membuka hati kalian untuk mencetuskan perubahan...
Akhir kalam, ketahuilah.. .
"Dunia ini merupakan hiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah WANITA SOLEHAH....."

with love: nuramna najihah

Thursday, July 9, 2009

muslimah @ pohon semalu..

assalamualaikum...

teladan wanita di sebalik pohon semalu..

Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w berjalan-jalan bersama puteri baginda, Saidatina Fatimah r.a. Setibanya mereka berdua di bawah sebatang pohon tamar, Fatimah terpijak pohon semalu, kakinya berdarah lalu mengadu kesakitan.
Fatimah mengatakan kepada bapanya apalah gunanya pohon semalu itu berada di situ dengan nada yang sedikit marah. Rasulullah dengan tenang berkata kepada puteri kesayangannya itu bahawasanya pohon semalu itu amat berkait rapat dengan wanita. Fatimah terkejut. Rasulullah menyambung kata-katanya lagi. Para wanita hendaklah mengambil pengajaran daripada pohon semalu ini dari 4 aspek.
Pertama, pohon semalu akan kuncup apabila disentuh. Ini boleh diibaratkan bahawa wanita perlu mempunyai perasaan malu (pada tempatnya).
Kedua, semalu mempunyai duri yang tajam untuk mempertahankan dirinya. Oleh itu, wanita perlu tahu mempertahankan diri dan maruah sebagai seorang wanita muslim.
Ketiga, semalu juga mempunyai akar tunjang yang sangat kuat dan mencengkam bumi. Ini bermakna wanita solehah hendaklah mempunyai keterikatan yang sangat kuat dengan Allah Rabbul Alamin.
Dan akhir sekali, semalu akan kuncup dengan sendirinya apabila senja menjelang. Oleh itu, para wanita sekalian, kembalilah ke rumahmu apabila waktu semakin senja.

Ambillah pengajaran dari semalu walau pun ia hanya sepohon tumbuhan yang kecil

with love:nuramna najihah

Sunday, July 5, 2009

cinta seorang pemuda..

assalamualaikum
lama rasanya xpost cerpen..
terimalah..

CINTA SEORANG PEMUDA

oleh:Shahkang

“Aduh, mana dia ni!?”
Hamid mengeluh panjang sebelum menghela nafasnya dengan sekuat-kuat - tertekan kerana orang yang dinantikan belum kelihatan kelibatnya. Dia mengibas-ngibas lantai simen kelabu tempat dia memacakkan kakinya dengan suratkhabar yang baru dibeli dan menjelepokkan tubuhnya dengan selesa. Matanya kadang-kala mengerling jam dinding plastik berdekatan pintu utama masjid. Sinar cahaya semakin membalam menanda tirai senja mulai tersingkap menggantikan redup petang.
“Sembahyang Asar apa lama sangat ni,” katanya sambil membuka helaian demi helaian suratkhabar lusuh itu.
Srett…!
Kedengaran seretan pintu kaca masjid itu bergelongsor dan Hamid bingkas bangun dan menepuk-nepuknya punggung teposnya untuk membersihkan habuk. Cuka wajahnya seolah-olah dibilas dengan segelen manisan setelah melihat Dalila rakan sekuliahnya yang dinanti sejak sejam yang lalu telah muncul. Hamid melangkah mendekati sahabatnya bersama degupan jantung yang mula mengatur rentak pantas.
“Dal!”
“Assalamualaikum, Hamid! Hah, ada apa ni?”
“Err. Walaikumsalam” balas Hamid dengan sekuntum senyuman kelat. Merah padam wajah cerahnya itu dek lupa memberi salam.
“Saya nak pinjam nota kuliah Dr. Fred tadi, saya duduk di belakang tak nampak tulisan kenitnya tu, boleh kan?” sambungnya.
“Boleh saja. Semangat betul awak ni, Mid. Sanggup tunggu saya untuk sekeping nota comot ni. Maaflah lambat, tadi saya ada usrah,“ Dalila mengambil beg sandangnya dan membelek-belek kepingan kertas di dalam fail poketnya.
Hamid masih kekal dengan sengihannya. Bukanlah semangat belajar yang mendorongnya tetapi ada niat lain yang telah disisipkan bersama. Dalila menghulur sekeping kertas biru kumal yang telah dicoret pelbagai persamaan dan rumus matematik yang berselirat di atasnya dengan rencaman warna pen yang menarik.
“Kalau boleh pulangkan esok sebab saya nak study untuk kuiz rabu depan. Eh, saya dah lewat nak ke majlis iftar! Dah hampir waktu maghrib ni. Marilah pergi sekali kalau awak ada kelapangan,”
“Tak apalah, selamat berbuka!” Terasa tertampar wajah Hamid apabila mengimbau kali terakhir dia berpuasa sunat semasa di sekolah berasama penuh empat tahun dahulu. Itupun kerana sekolah mewajibkan pelajar berpuasa sempena hari Nisfu Syaaban. Kalau tidak memang mustahil untuk dia menahan lapar dan dahaga untuk suatu ibadah yang hukumnya tidak wajib.
“Kalau begitu tak apalah. Saya nak pergi dahulu nanti lambat pula, assalamualaikum!” Dalila terus berlalu dan melintas jalan untuk ke perhentian bas di hadapan masjid untuk menyertai puluhan pekerja pejabat yang sedang menanti bas. Di celah-celah kelompok manusia terdapat kerusi yang sudah penuh dilabuh orang. Dalila berdiri sambil menyelak-nyelak naskhah Al-Quran yang sebesar tapak tangannya sebelum berhenti di satu muka surat dan memulakan pembacaan dengan perlahan. Mereka yang berada di situ sekali-sekala menlirik ke arah gadis bertudung hijau cerah itu. Mereka kagum dengan kesanggupannya membaca kitab Allah itu walaupun penumpang lain sibuk mengibaskan diri sendiri kerana kepanasan akibat angin yang tidak memuput seperti selalu. Kekhusyukannya langsung tidak tercela walaupun sesaga.
Hamid mengamati gadis idamannya itu sambil berjalan menuju ke wakaf berhadapan dengan masjid tempat dia meletakkan motosikalnya. Tidak terlepas sesaat pun segala perlakuan Dalila yang betul-betul memikat hatinya, malah mungkin ratusan kaum Adam yang lain. Sekujur tubuhnya itu sentiasa dibaluti lapisan kain polos yang berlapis-lapis – menutup segala aset seorang wanita yang mampu membuaskan nafsu lelaki. Disulam pula lembar-lembar benang keimanan di segenap tubuhnya bersama benih-benih ketaqwaan yang sentiasa bercambah dari pancaran wajahnya yang selalu tenang itu. Tampak berbeza benar dengan rakan wanita Hamid yang lain. Mungkin itulah yang merasuk Hamid untuk mencintai Dalila walaupun ungkapan rasa hati belum terpacul dari mulutnya.
“Berpeleseran lelaki dan perempuan hukumnya haram, melainkan setelah diijabkabulkan melalui ikatan suci pernikahan. Firman Allah melalui surah Al-Isra’ ayat ke-32 yang bermaksud, janganlah kamu menghampiri zina. Ingatlah kawan-kawan, berpasangan antara kita secara haram kadang-kala boleh mengakibatkan kita terlangkah setapak ke arah zina,” Hamid teringatkan pembentangan Dalila dalam kelas agama Ustaz Ismail bulan lepas. Seluruh kuliah diselubungi hening mendengar pentarbiahan Dalila menerusi petah kata-katanya membaca maksud ayat Al-Quran dari surah Al-Isra’ itu. Selepas itu, makin kurang rakan sekuliah mereka yang berlagak sepeti belangkas ke hulu ke hilir menayangkan hubungan haram mereka itu. Kelibat manusia bertenggek bersama angin asmara mereka di sudut-sudut sunyi kawasan kolej juga kian susut. Dalila amat menitikberat soal pergaulannya dengan lelaki dan kerana itulah Hamid terpaksa mengatur langkah berhati-hati dalam memenangi zabarjad hatinya itu.
Hamid tersentak daripada lamunan singkatnya. Tatkala azan Maghrib berkumandang dia terus memecut motosikalnya meninggalkan asap kelabu motosikalnya yang menggejuju dan menodai ruang udara masjid itu. Tidak terlintas langsung di hatinya untuk bersama-sama bersolat jemaah.
* * *
Suasana blok kediaman lelaki seperti malam-malam biasa. Kadang kala kedengaran nyanyian sumbang pelajar bersama petikan gitar melulu tanpa irama yang teratur dan ada juga penghuni yang diselubungi hening bersama lambakan tugasan yang perlu segera disiapkan. Hamid dan Kamarul, rakan sebiliknya membisu sahaja sambil jari-jemari masing-masing melekap di kekunci computer serta melantun-lantun untuk menyiapkan tugasan mereka.
Hamid merenggang-renggang lengannya sambil menghempaskan tubuhnya yang kurus kering itu ke tilam bujangnya. Bantal empuknya menjadi pelabuhan kepalanya yang sudah disebui kira-kira kalkulus yang menyerabutkan jiwa. Sesekali dia mengeluh berat.
“Kau agak Dalila tu layak tak untuk aku?” suara serak Hamid memecah keheningan bilik itu. Kamarul yang sedang asyik meneliti hasil kerjanya di skrin komputer bimbitnya sedikit terkejut..
“Kau lelaki dan dia perempuan. Apa masalahnya?” katanya berseloroh sebelum menyambung semula pengamatannya kepada skrin terang-benderang itu.
“Ish, ke situ pula kau ni! Maksud aku dia tu warak macam ustazah. Aku ni? Wirid lepas solat pun aku tak terhafal kau tahu? Yang lain tu jangan ditanyalah,” fikiran Hamid mula melayang mencari kekurangan dirinya. Memang berbeza benar dirinya dengan pujaan hatinya itu. Dalila merupakan seorang muhsinat bernadikan mujahadah pejuang sejati. Muraqabahnya sepanjang waktu bagaikan kesetiaan langit menemani bumi. Sifat mahmudahnya? Ah, hingga ke hujung dunia pun sukar diganti! Hamid apa yang ada?
Kamarul tersenyum tanda mengerti persoalan yang menyerbu kotak fikiran sahabatnya itu.
“Aku rasa kau patut berubah, Mid. Kau tu pipit sahaja tapi berkehendakkan si helang. Dalila tu mesti kerkehendakkan muslimin yang dapat membimbingnya ke arah jalan yang diredhai Allah. Kalau macam perangai kau sekarang, alamatnya masuk longkanglah!” Kamarul tergelak sedikit bersama tegurannya yang berbaur sinis itu. Ungkapan yang cukup untuk menghiris kalbu Hamid menjadi jalur-jalur keinsafan. Hamid sedar yang dia tidak layak untuk meniarap sama tinggi dengan Dalila, apatah lagi hendak duduk atau berdiri.
“Apa yang patut aku buat?” getus rasa hatinya yang disergah perasaan seribu resah. Dia tidak mahu kehilangan nilam hatinya yang sudah lama ingin ditawannya itu.
* * *
Suasana masjid sepi tanpa pengunjung. Matahari baru sahaja naik segalah dan air embun pun masih lagi segar menempek di pohon semalu di taman perkarangan masjid. Hanya Hamid dan beberapa ahli surau menapak masuk ke masjid untuk menunaikan solat sunat duha. Hamid mengalirkan air ke celah-celah jari kakinya sambil menggosok-gosok sebarang kotoran yang menghalang wuduknya daripada sempurna. Dia kemudiannya melaksanakan solat sunat yang sangat besar fadhilatnya itu secara berseorangan di satu sudut sunyi masjid yang mampu mendamaikan hatinya serta menambah kekhusyukannya.
Setelah selesai berdoa kepada Allah Rabbuljalil, dia teringatkan Dalila. Lantas dia menderaskan langkahnya bagai lipas kudung menuju ke tangga surau. Ah, sandal biru kepunyaan gadis itu masih di situ! Dia tersenyum sendirian dan sengaja melambatkan pemakaian kasutnya sambil membelek-belek telefon bimbitnya kononnya seperti membalas mesej. Hampir dua hari tidak menatap wajah puteri kesayangannya itu. Kesatuan rasa cinta dan rindu telah meratus gila dari perdu hati terunanya itu.
Suara Dalila yang kedengaran tidak jelas akibat dibatasi pintu kaca itu sedikit menjompakkan keriangan hatinya.. Gementar jiwanya menjalar hingga ke seluruh badan. Bergetar tanpa disedari sesiapa pun. Dalila dan rakan usrahnya, Yasmin mula mendekati tangga surau untuk memakai kasut mereka sebelum berjalan menuju ke bilik kuliah masing-masing.
“Eh, Hamid. Dah solat duha?” Dalila sedikit terperanjat.
Hamid menguntumnya senyuman yang tidak putus-putus kepada Dalila. Dia pasti nada terkejut itu akibat perubahan dirinya yang secara tiba-tiba itu.
“Sudah. Tadi pagi saya ada usrah dengan Abang Man. Pelajar tahun akhir perubatan tu. Menarik juga berbincang mengenai kes murtad tadi,” jelasnya dengan sedikit rasa bangga. Harapannya agar Dalila menyedari sesuatu yang berlainan dalam dirinya. Jika dahulu waktu rehat paginya dipenuhi dengan derai tawa bersama rakan di kafeteria, kini dia beralih kepada program agama yang membina jati diri dan ukhwah sesama pelajar Islam di universitinya. Tiada lagi bayangannya berpeleseran bersama rakan sekuliahnya dengan motosikal berkuasa tinggi dan deraman enjin yang membingitkan. Dia benar-benar telah berubah demi kasihnya kepada Dalila yang tudungnya melabuh hingga ke punggung itu.
“Oh, baguslah begitu. Tak tahu pula awak dah sertai usrah sekarang. InsyaAllah mudah-mudahan banyak lagi rakan kita akan mengikut jejak langkah awak ni,” kata Dalila sambil tangannya melambai ke arah Yasmin yang sudah beberapa langkah dari situ.
“Hendaknya begitulah. Dah lewat ni, jom ke kelas nanti tak dapat duduk barisan depan. Jenuh kena jegil biji mata nak menyalin nota Dr. Fred,” cadang Hamid. Mereka bergegas meninggalkan tangga masjid itu apabila teringatkan betapa halusnya tulisan professor subjek kalkulus mereka itu.
Dalila terus meninggalkannya berseorangan dan tidak menunggu Hamid walaupun mereka menuju arah yang sama, dewan kuliah yang sama. Hamid yang pada mulanya terkedu dengan perbuatan rakannya itu mula memahami prinsip gadis itu - amat menitik berat soal pergaulan dengan lelaki. Walaupun sekelumit rasa terkilan mula terpancar dari raut wajahnya, tapi meluap-luap juga rasa kagumnya kepada rakan sekuliahnya itu. Dalila bukanlah gadis murahan seperti Emi dan Hazirah yang sangat mudah menerima umpanan lelaki termasuk dirinya untuk keluar berhiburan hingga fajar Subuh muncul di kaki langit sebelah timur. Hamid pasti muslimah pilihannya kali ini tidak silap seperti sebelumnya dan mampu menjadi seorang teman hidup yang setia hinggalah nafas terakhirnya.
* * *
Tamat sahaja kelas dia terus bergegas ke masjid universiti yang sepenanak nasi lamanya berjalan kaki dari bangunan akademik untuk menunaikan solat Zohor berjemaah. Sekitar jam dua petang pula dia dijemput untuk menyertai satu simposium akhlak Islamiah dan sudah pasti dia tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu yang membawa dirinya lebih dekat dengan Dalila. Gembiranya bukan kepalang melihat gadis berkening rimbun dan berdahi licin itu bersama-sama dengannya dalam masjid itu. Bunga kasihnya bertambah mekar menjernihkan sinar wajahnya yang sudah sedia tampan itu bersama gelojak rasa cinta yang tidak pernah menjengah atmanya sebelum ini. Betapa bahagianya Hamid.
Dalila pula berkali-kali memanjat kesyukuran kepada-Nya. Kadang-kala tidak percaya akan perubahan mendadak yang berlaku dalam diri Hamid. Setiap kali terpandang Hamid dalam majlis-majlis agama, dia hanya menghadiahkan senyuman manisnya sebagai tanda ukhwah sesama saudara seagama.. Hatinya tidak pernah terdetik walau sekumin rasa cinta pada sahabatnya itu. Buah-buah sayang yang ranum terhadap Hamid juga hanyalah sebagai seorang sahabat seperjuangan dalam lapangan yang sama. Tidak lebih dari itu.
Sepurnama sudah perubahan dalam diri Hamid. Dia begitu selesa dengan kehidupan barunya sebagai seorang yang sering menzahirkan diri di rumah Allah. Seperti hari-hari biasa, dia menunggu Dalila di tangga surau tempat mereka menyimpan kasut. Dia didatangi Abang Man yang kebetulan sering menggunakan tangga yang sama.
“Mid, kalau petang Ahad minggu depan ada masa lapang, datanglah sini. Ada majlis akad nikah dan jamuan ringan sikit. Pelajar universiti kita yang bernikah,” kata Abang Man.
“Oh, siapa? Saya kenal?” soal Hamid. Sebelum ini memang berjabu pasangan melangsungkan majlis ijab kabul mereka di situ yang rata-ratanya terdiri daripada pelajar universiti dan rakan-rakan Hamid juga.
“Dalila dan Fazrul. Rasanya Dalila tu budak kejuruteraan macam awak juga. Datanglah kalau tak keberatan,” kata Abang Man sambil berlalu pergi. Berderau darah Hamid mendengar butir-butir kata yang terakhir itu bersama mulutnya yang terlopong luas. Detak jantungnya yang tenang tadi tiba-tiba bagai direnggut lintasan halilintar. Resah kian memayungi perasaannya.
“Dalila hendak berkahwin? Dengan Fazrul? Fazrul tahfiz Al-Quran yang satu kumpulan usrah dengan aku tu?” dia berbicara sendirian. Dia teringatkan perihal Fazrul, seorang qari yang terkenal dengan alunan merdu suaranya yang serak parau itu sering mendendangkan ayat-ayat Al-Quran di masjid atau majlis-majlis rasmi universiti. Hamid mula terasa betapa ketara perbezaan dirinya dan Fazrul sama seperti dirinya dan Dalila. Kalau bersama dengan Fazrul dalam sesi usrah, dia sering saja membungkam bisu dan hanya menadah telinganya mendengar hujah-hujah Fazrul yang bernas diselitkan pula dengan hadis-hadis atau potongan ayat Al-Quran yang sudah dikhatamnya berpuluh kali. Hamid berasa dirinya sudah gagal dalam memenangi hati Dalila. Masakan helang boleh disamakan dengan pipit. Sampai bila-bila pun tidak akan sama.
* * *
Kamarul mula menyedari perubahan Hamid yang kembali kepada perangai lamanya. Mashaf Uthmani yang sering digunakan Hamid untuk membaca surah Al-Mulk setiap malam sebelum melelapkan mata kini disawangi habuk di atas almari. Kelibat motosikalnya memasuki pintu pagar masjid dan memarkir di hadapan tangga surau kegemarannya juga tidak dapat dilihat lagi.
“Kau berubah selama ini hanya kerana Dalila? Bukan kerana Allah?” tanya Kamarul yang benar-benar dirundung rasa kecewa ekoran perbuatan rakannya itu.
Hamid tetap membisu bersama kolam air matanya. Baginya tiada apa lagi perlu dikejar. Permata idamannya sudah dikebas orang lain yang lebih layak dan berhak. Kamarul tercengang seketika melihat fiil rakannya yang sudah dikenali sejak dua tahun ini. Hamid tidak pernah bersikap sebegini. Kalau meraung kesedihan sekalipun, Hamid akan pulih setelah beberapa hari. Kini sudah hampir seminggu dia hanyut dalam lautan kehampaannya itu. Selaksa tugasan yang diberikan pensyarah langsung tidak diendahkan apatah lagi hendak menyelak buku kalkulus atau kimia yang setebal kira-kira dua inci itu.
Dalila turut sama merasai kehilangan Hamid. Pemuda itu tidak hadir ke kelas kuliah apatah lagi untuk bertemunya di tangga masjid seperti selalu. Linangan air mata jernih muslimah itu membasahi kain tudungnya apabila Kamarul menceritakan kisah sebenar Hamid kepadanya. Dalila kecewa kerana Hamid bukanlah benar-benar mentaslimkan diri kepada Allah Rabbulalamin seperti yang disangkanya. Sebaliknya murad Hamid selama ini hanya kerana dia, seorang hamba Allah yang hanya mengabdikan diri kepada-Nya dan tidak mempunyai apa-apa keistimewaan mahupun mukjizat seperti mana yang dikurniakan-Nya kepada para nabi dan rasul. Dia tidak mampu berbuat apa-apa melainkan mengangkat tangan dan berdoa kepada Allah agar Hamid diberi musaadah untuk dipimpin semula ke jalan yang benar.
* * *
Hamid cuba mengagahkan dirinya ke kuliah setelah seminggu berkurung di hostelnya dengan harapan tidak bertembung dengan Dalila seperti sebelum-sebelum ini. Dia mengerling sekitar biliknya mencari buku-buku notanya yang sudah hampir seminggu tidak dijenguk. Tiba-tiba, dia terlihat sepucuk surat berwarna merah jambu yang terdapat di atas mejanya. Perlahan-lahan dia menarik keluar isi surat dan tangannya terketar-ketar setelah nama Dalila terpampang sebagai penukil di sampul surat.
Assalamualaikum Hamid,
Berubahlah kerana Allah Azzawajalla. Bukan kerana diri yang hina ini. Diri ini tidak mampu menyelamatkanmu dari kepanasan api neraka atau raunganmu di dalam kubur kelak. Renungkanlah firman Allah menerusi surah Al-An’am, ayat ke-162 yang maksudnya segala perbuatan kita sebagai hambanya di muka bumi ciptaan-Nya ini hendaklah semata-mata kerana-Nya, tuhan yang Maha Esa. Hamid, ingatlah bahawa kepada-Nya kita berserah dan kepada-Nya juga kita meminta pertolongan. Diri ini berharap Hamid akan bertemu gadis yang lebih layak untukmu kelak. InsyaAllah.
Sahabatmu, Dalila
Rasa malunya kepada Allah memuncak. Tasik bening yang bertakung di matanya mengalir lagi. Dia teringatkan ayat surah itu yang pernah dibincangkan dalam usrah yang dikendalikan oleh Abang Man. Dia sedar selama ini dirinya dihasut syaitan laknatullah untuk mengejar pasangan hidupnya, bukannya rahmat dan keredhaan Allah yang menjamin kehidupan ukhrawi dan duniawi. Air mata yang menuruni pipinya bertambah deras mengimbau kembali bagaimana dia sanggup menggunakan ibadah hanya untuk berada setaraf dengan Dalila. Dia mulai sedar selama ini dia hanya termakan bisikan syaitan yang telah memesongkan niatnya dalam melaksanakan ibadah kepada Allah.
“Terima kasih Dalila. Semoga bahagia di samping suami tercinta,” bisik hatinya. Dia segera menyentengkan lengan bajunya dan menuju ke tandas untuk mengambil wuduk bagi menyempurnakan taubat nasuhanya kepada Allah Rabbulghafur dengan solat sunat sebanyak dua rakaat.

with love~nuramna najihah

Thursday, April 16, 2009

pilihanku!!..mengejar cita tertinggi..


SYAHID

Category: Cerpen


Malam kian melabuhkan tirainya. Sepi. Cuma sesekali kedengaran suara unggas sahut menyahut. Bintang-bintang malam bertaburan. Menghiasi dada langit. Indah dan berkerdipan. Di satu sudut penjuru, kelihatan seorang anak muda khusyuk menghadap kitab suci Al-Quran. Bacaan lenggok bayati dialun-alunkan. Merdu. Membuai jiwa dan perasaan. Bacaan Al-Quran mengembalikan ketenangan. Haikal cuba menghayati isi kandungan kalamullah itu. Ditadabburnya bersungguh-sungguh. Namun bacaannya terhenti. Bola matanya tertancap pada ayat itu. Diamatinya berkali-kali. Dadanya bergetar. Tidak keruan.

Dan perangilah mereka itu sehingga tidak ada fitnah lagi dan ketaatan itu hanya semata-mata untuk Allah. Jika mereka berhenti dari memusuhi kamu maka tidak ada permusuhan lagi, kecuali terhadap orang-orang yang zalim. ( Al-Baqarah:193)

Ditutupnya kitab suci itu. Al-Furqan dicium lembut. Langkah diatur ke tingkap. Bayu padang pasir menerobos, menampar pipi. Sejuk dan mendamaikan. Namun gejolak di jiwanya kian membara. Jawapan perlu dicari. Keputusan harus dibuat. Haikal memejamkan matanya. Peristiwa di Masjid Hussin bagai diulang tayang. Masjid itu seolah-olah sudah sebati dengan jiwanya. Walaupun dia cuma dagangan yang hina di sini. Di bumi lembah Nil yang subur. Masjid Hussin kerap dikunjunginya . Malah bersolat jemaah di situ bagai satu kemestian. Dia sering bertafakkur, taabud jiwa taqarrub billah. Lantas Masjid Hussin menjadi saksi, saksi seorang insan yang mendamba cinta Ilahi. Namun munaqasyah bersama Syeikh Imam Ahmad petang tadi kembali mengocak ketenangan. Tawaran Syurga Firdausi menimbulkan persoalan.


Mengapa aku harus ragu? Mengapa tidak aku serahkan segala jiwa dan ragaku ke jalan Ilahi? Hati itu bersuara. Tapi bagaimana dengan ibu, abah malah adik-adik di kampung? Hatinya bersoal lagi. Haikal berkira-kira, menimbang-nimbang keputusan yang bakal dibuat.

Tidak! Tidak! Aku tidak akan kalah dengan bisikan nafsu dan syaitan. Sama sekali tidak! Lantas istighfar dilantun berkali-kali. Bisikan hati cuba ditepis. Dia bermujahadah. Demi Allah, dengan bersaksikan malam yang pekat dan bintang-bintang malam yang bergemerlapan indah, sesungguhnya hidupku dan matiku hanya keranaMu Ya Allah. Tegas sekali keputusan Haikal. Dan dia nekad, keputusan ini tidak akan berganjak, sama sekali tidak. Dibulatkan azam, dipejalkan tekad. Semangat yang tadinya luntur ditiup kembali. Keputusan yang wajar sudah dibuat.

***


Langkah dihayun selaju mungkin. Sesekali disekanya peluh jantan yang merenek, membasahi dahi. Mentari garang memancarkan sinarnya. Bumi Damanhour panas. Sementelahan musim sejuk berlalu pergi, musim panas silih berganti. Tidak seperti Malaysia. Bumi semenanjung Golden Chersone itu sentiasa dipayungi awan redup.
Nyaman. Tidak sepanas ini. Namun kembara di bumi anbiyak perlu diteruskan. Cuaca bukan alasan. Ilmu perlu dicari, diburu malahan digali. Jika tidak masakan dia menjejakkan kakinya di jazirah Semenanjung Arab ini.


Dari jauh rumah sewa Amir menggamit pandangan. Rumah yang dikelilingi pohon kurma yang merendang tampak sederhana.
Di kiri dan kanan Haikal, unta-unta setia menawarkan khidmat. Bebanan berat ditanggung tanpa sebarang karenah. Binatang itu cukup sabar. Dan Haikal kagum. Cukup kagum dengan binatang itu. Kenderaan? Kereta? Apalah yang ada di era 1948 ini. Tambahan pula di daerah Damanhour yang terpencil. Cuma sesekali kelihatan beberapa buah teksi yang berulang alik dari Kaherah. Itupun jarang.

Amir muncul dari dapur, menatang teh panas beserta roti dan zaitun.

”Minumlah Haikal, air bujang saja,” seloroh Amir.


Gurauan itu disambut dengan senyuman panjang. Aroma teh herba yang harum menerjah hidung. Pantas as-syai itu diteguknya. Lega rasanya. Rasa gembira tidak dapat dibendung lagi. Amir perlu diberitahu.


”Amir, aku ada hal sikit nak cakap dengan kau, aikal bersuara, memecah keheningan.”


Suapan roti dan zaitun terhenti.
Amir memandang sahabatnya itu.


”Aku dah buat keputusan. Esok aku akan daftarkan nama di pejabat Jamiyatus Syubbanil Muslimin di Ramsis. Palestin bakal kujejaki. Biar kaki ini berdiri di Quds. Biar tangan ini menghancurkan Yahudi. Biar jiwa ini kunafkahkan ke jalan Ilahi. Lagipun jihad sudah diisytiharkan. Bayangkan aku akan bersama-sama Imam Syeikh Hassan Al-Banna beserta jemaah Ikhwanul Muslimin yang lain, membebaskan Palestin dari belenggu Yahudi yang dilaknat,” terang Haikal panjang lebar. Jelas dan nyata. Kegembiraan terpancar di wajahnya.

Mulut Amir terlopong. Matanya terbeliak. Tangannya diletakkan di dahi Haikal.


”Kau demam?” Amir bersuara kehairanan. Apa mimpi sahabatnya yang seorang ini. Tiba-tiba muncul membawa khabar yang tidak diduga.


”Tidak. Aku serius. Malah keputusan ini tidak akan berganjak!”
Tegas sekali nada suara Haikal.

Bodoh, kau memang bodoh. Kenapa susahkan diri? Biarkan Palestin dengan kisahnya. Yang penting kehidupan kita di bumi ini.” Amir bersuara kendur.


Haikal tersentak. Terkejut bukan kepalang. Tidak disangka kata-kata itu keluar daripada mulut sahabat baiknya, Amir.
Kalau diikutkan nafsu amarahnya mahu sahaja ditampar mulut celupar itu. Namun Haikal sedar tiada gunanya mengikut rasa marah. Seperti menyiram minyak ke api yang marak. Dihela nafasnya. Cuba bersabar barangkali.


”Habis, sanggupkah kau melihat bumi Isra·dan mikraj itu diperkosa dan dinodai? Nyawa bagai tiada berharga. Umat Islam disembelih sewenang-wenangnya. Anak kehilangan ibu, isteri kehilangan suami. Palestin menjadi saksi, Yahudi sudah menunjukkan taringnya. Seolah-olah gah dengan kuasa yang ada. Kepada dunia ingin mereka buktikan, Perang Salib berulang kembali. Namun dengan keputusan yang berbeza. Seolah-olah kemenangan kini berpihak kepada mereka. Kehinaan ini perlu ditebus, maruah Islam harus dikembalikan.” Haikal menghela nafas. Sesekali air liur ditelannya.


”Tapi kita bukan bangsa Arab, Haikal.
Kita orang melayu. Melayu jati, berkulit sawo matang. Persetankan apa yang terjadi. Biar bangsa Arab sendiri yang menyelamat keadaan. Itu bumi mereka,” Amir cuba menegakkan benang yang basah.


Haikal memandang Amir. Anak matanya tajam menikam iris sahabatnya itu.


”Betapa jangkalnya hujahmu itu. Kau cuba katakan dalam Islam wujud jurang pemisah, pembeza antara warna kulit, kaum dan bangsa. Sedangkan jelas, yang membezakan cuma taqwa. Arab, melayu sama sahaja. Sejarah dulu telah membuktikan pada tanggal 1187, bumi Palestin dibebaskan oleh Salahuddin Al-Ayubi dalam perang Hittin yang dahsyat. Sedangkan Salahuddin bukan berdarah arab Palestin. Beliau berketurunan kurdi, satu bangsa yang mendiami utara Iraq, sempadan Turki. Namun kenapa jiwa diperjudikan? Nyawa jadi taruhan? Pastinya kerana iman yang mendalam. Kerana bumi Palestin bumi kita. Bumi ummat Islam. Dan juga kerana penghinaan Yahudi yang melampau. Tapi..paling menyedihkan makam pejuang berjasa, pembebas Palestin dari taghut yang menggila itu dijijak dan dicaci oleh Lord Olenby. Ketua Pasukan Salibiah itu perlu diajar!” Haikal mengetap bibir, menahan marah.

”Amir, dalam surah Al-Baqarah ada menyebut sesungguhnya Yahudi dan Nasrani tidak akan redha kepada kamu, melainkan kamu mengikut millah mereka. Malahan dalam solat kita seharian, ungkapan ghairil maghdu bia’laihim waladholin sering disebut. Kau tahu jalan orang-orang yang sesat? Jalan orang Yahudi dan Nasrani yang dilaknat.” Bicara yang bersisa disambung. Ada nada keras dalam suara itu.


”Habis kau cuba buktikan kau Salahuddin Al-Ayubi yang kedua? Usah bermimpi di siang hari Haikal.” Tanpa memandang Haikal, Amir mengajukan soalan, seolah mengejek.


Haikal senyum.


Apa salahnya andai itu ditakdirkan.
Bangkitlah Amir! Bangkit dari lenamu yang panjang. Buktikan kejantananmu, usah dayus dan pengecut.” Kata-kata itu mengakhiri perbualan antara dia dan Amir. Lantas Amir terkulat-kulat ditinggalkan keseorangan. Kecewa mengepung dada. Tidak disangka Amir berfikiran kolot sebegitu. Bukan sehari dua Amir dikenalinya. Malahan bertahun-tahun. Untaian ukhuwah itu telah terjalin lama. Sementelahan Amir teman sepermainannya sejak kecil. Mereka sama-sama membesar di desa yang sama, desa terpencil di Dungun, Terengganu.


”Alhamdulillah.” Haikal bersyukur. Keluarganya cukup memahami. Pantas kalimah syukur dipanjat kepada Rabbul Izzati. Abahnya tidak membantah, begitu juga dengan ibunya. Malah kuntuman doa dan restu ditaburkan mengiringi perjuangan Haikal. Barangkali darah nenek moyangnya, Haji Abdul Rahman Limbong mengalir dalam diri. Meresap ke segenap urat nadi. Darah pejuang. Haikal masih ingat, malah ingat benar pesanan abahnya sebelum bumi Arab ini diterokanya.


”Abah dulu pernah bercita-cita untuk mati syahid ketika menentang penjajah Inggeris dahulu. Namun hajat itu tidak kesampaian, terhenti di tengah jalan. Tapi abah mahu perjuangan itu kau teruskan Haikal.” Kata-kata itu acapkali terngiang-ngiang di cuping telinganya. Seolah-olah baru semalam kalimah itu dilafazkan. Harapan abahnya tinggi, mahu melihat Haikal menjadi rijaluddin dan mujahid di jalan Allah. Amanah itu sentiasa melingkar utuh di sanubarinya. Dan Haikal nekad, amanah itu akan ditunaikan walau nyawa di hujung pedang.


Haikal mematikan lamunan. Pantas kartu syair karangan penyair terkenal Palestin, Ibrahim Tuqan dicapainya.


Di hadapan sana tragedi yang menggerunkan. Si muda menjadi tua lantaran kegerunan. Kamu seperti resam kamu yang tidak menghiraukan. Selain daripada sisa yang tidak berharga kesudahan dimusnahkan oleh golongan taghut. Beritanya tersebar jauh ke sana. Tiada mahligai yang kekal abadi untuk penghuninya. Dan tidak juga walau sebuah pondok yang usang.

”Posto! Posto! Posto untukmu Haikal.” Muncul Nasir sambil menghulur surat di tangan. Mengganggu pembacaan. Telo keindonesiaannya pekat.

”Cewek barangkali,” Nasir bergurau sambil tersenyum sumbing. Kerang busuk.

”Terima kasih Mas Joko,” Haikal juga tidak mahu kalah, gurauan Nasir dibalas. Lantas meledak tawa antara mereka.

Surat bertukar tangan. Haikal terkejut. Tenang yang tadinya diam mendiami kalbu hilang entah ke mana. Resah datang bertandang. Tulisan tangan yang cantik dan kemas itu ditatapnya.

”Zulaika” terpacul nama itu.

Haikal dipagut kegelisahan. Mungkinkah tunangnya memahami dirinya? Adakah Zulaika juga seperti Amir, menghalang niat sucinya? Bertalu-talu soalan itu menerjah minda. Namun Haikal bulatkan azam, Zulaika tak mungkin mampu menggugat keputusannya. Bukan itu tujuan cintanya. Cinta manusia rela dikorbankan. Cinta Ilahi itu lebih utama. Itu syarat ?alawatul iman· Haikal tidak mahu tewas di tangan seorang perempuan. Nasibnya tidak mahu disamakan dengan Napoleon Benaparte.

Assalamualaikum wbt.

Saudara Mohd Haikal yang dikasihi kerana Allah dan RasulNya.
Hasrat murni Haikal telah ummi sampaikan pada Ika petang tadi. Alhamdulillah. Jauh di sudut hati ini, Ika bangga mempunyai seorang tunang seperti Haikal. Yang cekal dan tabah. Yang sanggup menafkahkan jiwa dan raga di jalan Ilahi. Namun jangan sekali-kali tersemat di hati Haikal bahawa Ika penghalang niat sucimu. Demi Allah tidak! Tidak mungkin Ika menjadi penghalang kepada seorang insan yang mencari kasih dan cinta Ar-Rahim. Biarlah Ika menjadi Saidatina Khadijah, pendorong segala kejayaan Rasulullah, suami tercinta.


Haikal,
Masihkah Haikal ingat satu kisah di zaman Rasulullah. Seorang gadis yang dipinang oleh Rasul untuk seorang pemuda yang beriman. Namun sebelum bahtera rumah tangga dilayari bersama, pemuda itu syahid, tersungkur di Jabal Uhud. Biarlah takdir Ika seperti gadis itu dan Haikal seperti pemuda itu. Ketepikan rasa cinta buat Ika. Burulah cinta Ilahi. Ika di sini akan sentiasa mendoakan Haikal. Semoga Haikal temui impian yang tergapai. Ayuh, majulah pejuang allah.


Salam dari kejauhan,
Zulaika Nubaila.

Surat Zulaika ternoktah di situ. Rasa terharu mengepung dada. Zulaika gadis solehah. Haikal bersyukur dikurniakan seorang tunang seperti Zulaika. Cukup memahami dirinya. Surat itu disimpan kemas. Semangatnya makin menyala-nyala. Masjidil Aqsa seolah-olah melambai, menanti-nanti kedatangan.

Pagi itu mendamaikan. Cuaca cerah, tiada riak-riak gerimis akan datang melanda. Angin berpuput lembut. Haikal, Nasir, Hafiz dan Rafiq masing-masing sibuk mengemas barang yang perlu dibawa. Dengan lafaz bismillah kembara cinta menuju Ilahi pun bermula. Perjuangan itu baru bermula·.baru bermula. Haikal bergerak pantas. Mereka perlu cepat. Perjalanan ke Ramsis memakan masa. Teksi perlu disewa.

”Haikal! Haikal!”

Langkah yang dihayun terhenti. Nama Haikal dilaung-laung berulang kali. Segera dikalihnya ke belakang. Haikal kaget. Namun rasa syukurnya pantas menyelinap diri. Dari kejauhan Amir berlari pantas, merapati Haikal.

”Haikal, aku minta maaf. Jika dulu kita pernah berkongsi cita-cita bersama tapi kenapa sekarang tidak? Aku ingin mengikutimu, berjihad fisabilillah. Bawalah aku bersama Haikal,” suara Amir terhenti. Termengah-mengah.

”Dengan Nama Allah yang Maha Esa, aku bersumpah diri dan jiwa ini hanya milikMu Ya Allah!” Amir menjerit. Keras dan lantang.

Air mata kelakian Haikal tumpah. Lantas dua sahabat itu saling berpelukan. Berkongsi hadaf yang satu.

***

Suasana di ibu pejabat Jam?yatus Syubbanil Muslimin riuh rendah. Kelihatan ummat Islam dari seluruh pelosok Mesir berkumpul di situ. Suasana itu mengingatkan Haikal pada firman Allah dalam surah As-Saf.

Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalanNya dalam saf yang teratur seakan mereka seperti satu bangunan yang kukuh (As-Saf:4)

Seketika kemudian, As-Sayid Imam Hassan Al-Banna muncul. Dengan serban yang terlilit kemas, berjubah labuh Said Hawwa itu mengatur langkah kemas. Berkumis tebal, wajah itu menimbulkan ketenangan. Terpancar cahaya keimanan di raut wajahnya.

Pembesar suara dicapai. Dengan lafaz asma Allah, ucapan terlontar. Satu persatu kata-katanya bak butiran mutiara, penuh hikmah. Dan Haikal mendengar khusyuk. Pancaindera telinganya dimanfaatkan sebaik mungkin. Strategi peperangan yang diterangkan tersemat kukuh di fikiran. Bagaikan mimpi, kini dia berjuang bersama-sama Imam Hassan Al-Banna. Sementelahan mujaddid itu idolanya selama ini. Syukur Ya Rob.

Doktor Ahmad Al-Malat diperkenalkan. Pengerusi Persatuan Perubatan Islam Kaherah itu zuhud orangnya. Ilmu perubatan disalurkan sepenuhnya ke jalan Islam. Dia bakal merawat mujahidin yang tercedera di medan perang.

Solat sunat dua rakaat segera didirikan oleh tentera Islam. Imam Hassan Al-Banna bertindak sebagai imam mengimami jemaah muslimin. Laungan takbir bergema di udara. Allahuakbar. Memenuhi ruang angkasa. Kuat dan lantang. Semangat kini kian terbakar, menyala-nyala. Haikal pejamkan matanya.

Saat ini yang ku impi-impikan, getus hatinya.

Perjalanan menyusuri Semenanjung Sinai terasa begitu lama. Pandangan Haikal terlempar ke luar. Bumi gersang itu diamatinya. Bumi tempat persinggahan Nabi Musa satu ketika dulu menyimpan seribu satu khazanah. Zikrullah basah di bibir. Niat di hatinya diperbaharui. Berjihad hanya kerana Allah.

Dulu Palestin merangkumi Syria, Jordan dan Labenon, dikenali sebagai bilad Al-Syam. Tapi selepas tercetusnya Perang Dunia Pertama, Palestin dipisahkan oleh Britain. Lantas Sungai Jordan, Laut Mediterranean, Lebanon, Gurun Sinai dan Teluk Aqabah menjadi sempadan,·terang seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Ahmad Jamal kepada Haikal. Haikal cuma mengangguk. Anak muda kelahiran Tanta itu berperwatakan intelek.

Trak tentera akhirnya berhenti. Suasana baru itu ternyata asing buantnya. Lantas udara nyaman dihirup dalam-dalam. Bumi Palestin sudah dijejaki Haikal. Moga dagangan hina ini dibeli oleh Allah.

Setiap tentera dibekalkan dengan rifel dan beberapa bom tangan. Meskipun senjata ini Amerika Syarikat, namun semangat juang yang kental dan tinggi tidak pernah padam. Biarpun musuh memiliki senjata yang canggih tetapi ummat Islam tetap memiliki roh jihad yang membara. Masa harus dimanfaatkan sebaik mungkin. Setiap saat yang berlalu begitu berharga. Haikal lantas mengambil tempat di posisi kanan. Dia meniarap. Rifelnya memuntahkan peluru. Mengena sasaran, tentera Yahudi itu tumbang. Suasana makin hiruk pikuk. Bunyi tembakan jelas kedengaran. Diselang- seli dengan laungan takbir, peniup semangat. Peluru bersimpang- siur. Tentera Yahudi ramai yang rebah, tumbang satu persatu. Sementara tentera Islam mara ke hadapan dengan gagahnya. Namun dalam kegawatan itu, Amir tidak sedar dirinya diteropong tentera musuh. Haikal cuba menjerit, memberi amaran. Tetapi jeritan Haikal tenggelam. Tenggelam dalam hingar-bingar peperangan.

”Bang!” Tubuh Amir dirobek peluru. Badannya rebah, mencium bumi. Darah merah dan pekat mengalir, membasahi tanah Palestin. Haikal tidak sanggup melihat peristiwa itu. Jalan harus dicari. Di sana Amir sedang bertarung dengan maut. Amir harus diselamatkan. Dalam kepayahan, Haikal mendapatkan Amir. Langkah diatur berhati-hati. Silap langkah badannya pula yang akan ditembusi peluru. Kepala Amir dipangkunya. Sahabatnya itu menahan perit kesakitan yang dahsyat.

”Haikal” kedengaran suara itu bergetar lemah.

Amir mencari keupayaan menutur bicara.

”Sampaikan salam kepada keluargaku. Aku rasa, aku rasa perjuanganku setakat ini sahaja.

Arghhh, tapi kau harus berjanji berjanji Haikal jihad ini perlu diteruskan.”
Amir cuba menguntum seulas senyuman dalam kelat kepahitan. Kalimah syahadah ditutur lemah. Dan Amir syahid dalam hidupnya. Syahid di pangkuan teman sepermainannya dulu, Haikal. Kolam mata Haikal berkaca. Ditahan air mata itu daripada tumpah. Namun air mata itu laju menuruni birat matanya. Pantas manik-manik jernih itu diseka. Dia bingkas bangkit. Bumi Palestin menjadi saksi, Haikal berjuang bermati-matian. Dia mara ke hadapan seperti asad yang garang.

Satu demi satu kejayaan diraih ummat Islam. Dan satu demi satu daerah Palestin jatuh ke tangan muslimin. Masjidil Aqsa dan Qubbatussakhra·kembali kepada fitrahnya, kembali menjadi milik ummat Islam. Benarlah kata-kata Tuhan dalam kalamullah yang Agung, sesungguhnya pertolongan Allah akan sentiasa bersama-sama hambaNya yang taat.

Solat zuhur petang itu terasa kelainan. Apatah lagi solat empat rakaat itu didirikan secara berjemaah di Masjidil Aqsa. Solat yang ganjarannya 500 kali ganda. Kelihatan Haikal berteleku di sejadah yang lusuh. Doanya berentet panjang. Kepada Amir didoakan kesejahteraan dan ketenangan. Semoga temannya itu menjadi tetamu di Syurga Firdausi yang indah. Tidak Haikal menjangka Amir pergi dulu menemui Ilahi sebelum dirinya. Namun dia bangga, sahabatnya bergelar syuhada.

Jihad perlu diteruskan. Selagi seluruh bumi Palestin tidak ditawan, perjuangan ini tidak akan ternoktah. Tentera Yahudi seperti Irgun, Levi dan Haganot perlu ditumpaskan. Tentera Islam mula bergerak cergas ke Tel Aviv. Tetapi berita yang baru diterima di pinggir Tel Aviv memeranjatkan semua. Raja Faroq memerintahkan mereka pulang, kembali ke bumi Mesir. Haikal terkesima. Konspirasi jahat apakah ini? Tatkala tentera muslimin di gerbang kegemilangan, mereka disuruh berundur. Pakatan apakah ini? Namun mereka tiada kuasa dan pilihan. Terpaksa akur dengan arahan yang diterima. Kaki terasa seolah-olah berat meninggalkan bumi Quds yang tercinta.

Sekembalinya di Mesir, sekali lagi tentera muslimin terkejut. Layanan yang diterima sungguh menyedihkan. Mereka dihumban ke penjara yang gelap tanpa belas kasihan. Dan yang paling menggemparkan berita kematian Hassan Al-Banna. Beliau ditembak oleh seseorang yang tidak dikenali. Immamul jihad yang dikejarkan ke Hospital Al-Qasrun Aini itu ditinggalkan tanpa rawatan sehinggalah beliau menghembuskan nafas yang terakhir. Malahan Ikhwanul Muslimin diharamkan dan dibubarkan. Sempurna sungguh sandiwara politik yang dimainkan oleh Raja Faroq.

Bangsat! Haikal mengetap bibir, menahan marah. Marah dengan pemerintahan Mesir yang mengikut telunjuk Amerika Syarikat, Perancis dan Britain. Besi itu dipegangnya. Haikal memberontak. Dia ingin keluar dari situ. Dia tidak suka tubuhnya dibelenggu dan dikurung. Bukan itu kehendaknya. Biar dirinya berada di Palestin, menggempur tentera Yahudi. Pandangan matanya berbalam. Dia kini di sangkar penjara yang gelap dan kotor bersama sebilangan besar tentera muslimin yang lain. Sungguh tidak diduga, begini kesudahannya. Namun Haikal tidak pernah menyesal. Sudah fitrah perjuangan, dipenuhi ranjau dan duri.

”Tergempar! Tergempar! Ummat Islam Palestin dihalau keluar. Bangsa Yahudi mahukan penubuhan sebuah negara di bumi Palestin yang dinamakan Israel. Malahan usul itu dipersetujui kerajaan Britain.” Zaid menyampaikan berita yang baru diterimanya tadi.

Haikal terdiam. Peristiwa Deklarasi Balfour berulang kembali. Ummat Islam Palestin menjadi pelarian di tanah air sendiri. Hatinya geram. Otaknya berserabut. Yahudi benar-benar melampau. Haikal menyumpah dalam hati.

***

Suasana yang hening menjadi kelam kabut. Kelihatan ummat Islam Mesir membantah keputusan yang diputuskan oleh hakim. Keputusan hakim Yahudi itu nyata tidak adil. Haikal tetap tenang. Zikrullah makin deras. Dia dan beberapa ummat Islam yang lain bakal dihadapkan ke tali gantung. Andai ini ketentuanNya, Haikal terima dengan hati yang redha. Biarlah dia syahid di tali gantung. Cuma satu harapannya. Harapan yang lama tersimpan jauh di lubuk hatinya. Semoga Syurga Firdausi sudi menerimanya. Menjadi penghuni di syurga yang mengalir di bawahnya air sungai yang tidak pernah kenal erti tandus dan kering.


with love~nuramna najihah